Subscribe:

Tuesday, 4 December 2012

KUIH MUIH TEMPATAN


Assalamualaikum W.B.T dan salam sejahtera buat semua.. ^_^

Bertemu kembali dalam coretan East style..Maaf dipinta kerana sepi dalam beberapa hari ini kerana kekangan masa..
Kali ini, saya akan menerangkan tentang kuih muih tempatan hasil daripada perbincangan kita dalam kelas teori pada minggu lepas.



Antara beberapa jenis kuih-muih tempatan.

Kuih-muih tempatan merupakan sejenis makanan yang sesuai dimakan pada waktu pagi dan petang. Kuih-muih terbahagi kepada dua jenis iaitu kuih-muih manis dan kuih-muih pedas. Hidangan ini sesuai dimakan sebagai pembuka selera dan pencuci mulut. Juadah ini juga sangat menarik dan sedap jika kita semua mengekalkan keasliannya daripada aspek rasa, bentuk, tekstur dan warnanya.

Jika ditanya pada remaja hari ini, umum akan menjawab mereka kurang mengenali kuih muih tradisional disebabkan pelbagai faktor. Situasi ini dilihat akan menyebabkan kuih muih makin hari makin tenggelam dan lupuk dek peredaran zaman. Justeru itu, kita sebagai penyambung generasi akan datang sememangnya mempunyai tanggungjawab besar dalam mengkomersialkan lagi kuih-muih tempatan supaya terus kekal di mata masyarakat Malaysia khususnya.

Di ruangan ini, saya ingin berkongsi beberapa faktor yang dikenalpasti sebagai penyebab kuih-muih tempatan  semakin dilupakan dan kurang dikomersialkan.


    1.  TIADA RESEPI STANDARD


Resepi standard didefinisikan sebagai satu formula bertulis yang digunakan bagi menghasilkan sesuatu makanan pada tahap kualiti serta kuantiti yang diingini bagi satu-satu premis perniagaan makanan. Ia mesti menyatakan secara jelas kuantiti dan kualiti sesuatu bahan yang digunakan serta jalan kerja bagi menyediakan sesuatu hidangan dan perkara mustahak yang perlu diikuti.
Kuih-muih tempatan sememangnya sukar disediakan jika tidak mempunyai resepi yang betul serta jumlah kuantiti sesuatu bahan yang standard. Oleh itu, sesuatu resepi perlu diselaraskan dan distandardkan bagi kepentingan kita bersama.

    2.  MASA YANG LAMA

Bagi penyediaan sesuatu kuih-muih, peruntukan masa yang lama diperlukan kerana kebanyakan kuih-muih menggunakan banyak kaedah memasak terutamanya kaedah mengukus dan membakar. Antara kuih-muih yang menggunakan kaedah mengukus dan membakar serta mengambil masa yang lama untuk menyediakannya ialah :



Lompat tikam



Pulut sekaya


Kuih bakar pandan

     3.  TIADA KEMAHIRAN

Kemahiran penting dalam apa jua pekerjaan sekalipun. Tidak terkecuali bidang masakan walaupun pekerjaan ini hanya tertumpu di dapur sahaja. Bagi menyediakan kuih-muih tempatan khususnya, kemahiran yang betul semestinya diperlukan dalam mengaplikasikan pembuatan kuih-muih. 

Jika diperhatikan, remaja sekarang lebih gemar mendapatkan kuih-muih di pasaran berbanding menyediakannya sendiri. Tidak terkecuali saya sebagai remaja yang tidak pandai dalam menyediakan kuih-muih tempatan kerana saya menganggap perkara ini sukar dilakukan berikutan langsung tidak mempunyai kemahiran.

Justeru itu, golongan lama seharusnya perlu menurunkan ilmu penyediaan kuih-muih tempatan kepada remaja sebagai penyambung generasi akan datang.

________________________________________________________________________

Sebagai generasi penyambung warisan yang dilihat akan memacu negara suatu hari nanti, kita perlulah mengambil langkah yang drastik dan bijak dalam memastikan kuih-muih tempatan makin dikenali dan dikomersialkan. Kita bukan sahaja dilihat bakal menjadi pemimpin, malah sebagai seorang guru perlulah memikirkan strategi dalam memastikan kuih-muih tempatan dikenali oleh anak-anak murid kita nanti.

Berikut saya senaraikan beberapa starategi yang perlu kita laksanakan sebagai salah satu usaha kita ke arah memperkenalkan kuih-muih tempatan :

~ Mengadakan Hari Terbuka Kemahiran Hidup dan menyediakan pelbagai aktiviti terutamanya pertandingan memasak kuih-muih tempatan. Selain itu, menyediakan gerai atau pameran kuih-muih tempatan untuk pelajar mengenali kuih-muih tempatan.~

~Merancang satu aktiviti amali masakan untuk kuih-muih tempatan bagi memberi peluang kepada pelajar menyediakan kuih-muih dengan air tangan mereka sendiri dan seterusnya secara tidak langsung dapat melahirkan minat para pelajar terhadap kuih-muih tempatan.~

Langkah di atas diharap dapat memberikan kesan yang positif dalam mengetengahkan lagi kuih-muih tempatan agar tidak terus dilupakan dek peredaran zaman yang makin moden.

Sebagai ingatan semua, warisan tidak harus dilupakan kerana itulah yang melambangkan salah satu budaya kita..

Sekian sahaja untuk coretan kali ini..Berjumpa lagi di ruangan akan datang.. ^_^
Wassalam..


0 comments:

Post a Comment