Subscribe:

Friday, 23 November 2012

Oh keropok lekor..sedapnya dimakan begitu sahaja..


Assalamualaikum dan salam sejahtera semua..
Bertemu kita sekali lagi dalam ruangan coretan "EAST STYLE"..

Seperti yang dijanjikan, saya ingin berkongsi dengan anda semua tentang penghasilan keropok lekor. Sebelum itu, kita berkenalan dulu sedikit maklumat berkenaan keropok lekor..

Keropok lekor merupakan sejenis makanan tradisional pantai timur Semenanjung Malaysia, khususnya di negeri Terengganu. Keropok diperbuat daripada isi ikan laut bersama campuran sagu dan sedikit garam. Terdapat juga keropok yang dicampurkan dengan tepung kanji. Keseluruhan ramuan tersebut akan diuli dan digentel, sebelum direbus didalam air panas.
Kandungan ikan yang tinggi menjadikan keropok lekor sebagai makanan berprotein tinggi serta kaya dengan iodin semulajadi.
Keropok lekor boleh dimakan segar sebaik sahaja diangkat dengan dicicah air lada (sos cili) yang pedas. Pada masa ini, pembuatan keropok lekor makin diketengahkan di beberapa negeri lain.
Keropok lekor biasanya tidak tahan lama. Bagaimanapun, sekiranya hendak disimpan dengan lebih lama, keropok lekor hendaklah dibalut dengan plastik dan diletakkan ditempat air batu bagi mengelakkan baunya mencemar makanan lain. Apabila hendak dimakan, ia perlu dibasuh dan direbus semula dengan air yang dicampurkan sedikit garam, sekiranya tidak keropok akan berasa tawar.
Selain daripada dimakan segar, keropok lekor juga boleh dipotong pendek dan digoreng sekali lagi bagi menghasilkan keropok yang lebih rangup. Keropok lekor yang dicampur dengan tepung kanji biasanya lebih rangup apabila digoreng, tetapi akan bertukar menjadi liat apabila sudah sejuk. Keropok lekor yang menggunakan campuran sagu tidak akan menjadi liat walaupun ia sudah sejuk selepas digoreng.
Keropok lekor juga boleh diproses dengan lebih lanjut untuk dijadikan keropok keping. Keropok lekor yang telah direbus akan dipotong nipis-nipis dan dijemur untuk dijadikan kepingan-kepingan keropok kering yang dikenali sebagai keropok keping. Keropok keping ini akan menjadi kembang apabila digoreng dalam minyak yang panas dan ia amat sedap apabila dimakan dengan sos cili.

Berikut merupakan beberapa gambar keropok lekor yang direbus dan digoreng :


______________________________________________________________________________________________
BAHAN-BAHAN:
Ikan tamban atau selayang
Tepung sagu
Garam dan serbuk perasa secukup rasa
Air batu ikut kesesuaian adunan

CARA PENYEDIAAN:
Bersihkan ikan.
Asingkan tulang dan isinya.
Mesinkan isi ikan sehingga hancur.
Mesinkan sekali lagi dan campurkan air batu.
Masukkan tepung sagu.
Pastikan adunan tadi tidak terlalu lembik atau keras.
Gentel / uli dengan tangan membentuk saiz memanjang.
Panaskan air hingga mendidih.
Masukkan keropok lekor.
Angkat setelah ia timbul dipermukaan air. 

__________________________________________________________________________________

Untuk membuat keropok lekor anda boleh menggunakan ikan tamban.


atau ikan selayang



TIPS
Sukat dengan menggunakan acuan yang sama.
Tambahkan isi ikan dan tepung sagu jika adunan lembik.
Tambahkan air batu jika adunan terkeras.
Keropok ini boleh dimakan selepas direbus, distim atau digoreng.
Untuk disimpan lama, masukkan keropok ke dalam bekas logam seperti periuk kecil atau bekas tupperware dan dimasukkan ke dalam peti sejuk.
Jika hendak dimakan, keluarkan dan basuh dengan air panas mendidih sebelum digoreng.

_________________________________________________________________________________
CILI CICAH (S0S) KEROPOK LEKOR

BAHAN-BAHAN
1 cawan air asam jawa
2 cawan cili kering yang siap dimesin
1 cawan gula pasir
4 keping gula kabung atau gula merah

CARA MENYEDIAKAN
Campurkan kesemua bahan tadi di dalam mangkuk adunan.
Masak sehingga sos cili mendidih dan likat / pekat.
Untuk sos yang pedas kurangkan gula pasir atau gula kabung.
__________________________________________________________________________________



Saya harap dengan perkongsian dapat membantu anda semua mengetahui tentang keropok lekor dari pengenalan sehinggalah langkah menyediakannya.
Keropok lekor boleh didapati di mana-mana sahaja bukan sahaja di negeri Terengganu malah di kesemua negeri lain di Malaysia.
Keropok lekor juga merupakan hidangan yang berprotein tinggi kerana mengandungi kandungan protein ikan yang banyak. Saya juga yakin jika anda memakan keropok lekor yang betul-betul mengandungi banyak isi ikan berbanding tepung kanji, anda pasti akan kenyang sama seperti anda makan nasi.
Bagi yang betul-betul meminati keropok lekor, cubalah membuatnya sendiri mengikut resepi yang diberikan.

Bertemu lagi kita di ruangan yang akan datang..Wassalam..^_^

Seikhlas coretan,
Masthurah Binti Muhammad

~Cinta yang hakiki adalah cinta daripada ILAHI..Cinta sesama manusia pasti tidak akan kekal tapi membahagiakan jika dimaknakan dengan restu ILAHI..~

0 comments:

Post a Comment