Subscribe:

Wednesday, 21 November 2012

Ikan Pekasam Bondaku (PART 1)



Ikan pekasam adalah makanan tradisi yang terkenal dalam kalangan masyarakat Malaysia terutamanya dibahagian utara Malaysia. Seperti yang saya tahu, jika di negeri saya iaitu Perak Darul Ridzuan, ikan pekasam ini terkenal di daerah Lenggong, Perak. Jika bersinggah di Lenggong, lihatlah di tepi-tepi jalan, terdapat gerai-gerai kecil yang menjual ikan pekasam. 

Kebanyakan ikan pekasam dibuat menggunakan ikan air tawar seperti ikan puyu, ikan tilapia, ikan sepat, ikan lampam dan banyak lagi. Kebanyakannya adalah ikan yang bersisik dan agak tebal isinya. Ada juga yang menggunakan ikan air masin (ikan laut) seperti ikan gelama. Rasanya sangat sedap. Kaedah pembuatannya adalah sama sahaja antara ikan air tawar dan ikan air masin. Ikan pekasam ini menggunakan kaedah pengawetan kerana perlu diperap dalam jangka masa yang lama. 

Antara bahan atau ramuan yang digunakan dalam membuat ikan pekasam adalah beras, asam keping dan garam. Sedikit sahaja bahan-bahan yang digunakan. Cuma cara pembuatannya mungkin agak rumit. Apa yang penting, ikan perlulah dibasuh dengan bersih bagi mengelakkan ikan pekasam cepat rosak seperti berulat. 


Beras

Asam keping

Garam

Cara penyediaannya tidaklah sukar. Mudah sahaja. Pertama sekali, beras perlulah digoreng terlebih dahulu sehingga warnanya kekuningan atau keperangan. Setelah itu, beras perlulah ditumbuk sehingga menjadi sederhana hancur. Maksudnya tidaklah terlalu halus dan tidaklah terlalu kasar beras tersebut. Kemudian sediakan balang atau bekas untuk perapkan ikan pekasam tersebut. Pastikan balang/bekas tersebut boleh ditutup dengan kemas. 

Langkah pertama untuk perapkan ikan pekasam adalah dengan mengambil ikan dan lumurkan dengan beras yang telah ditumbuk sehingga rata keseluruh ikan, kemudian lumurkan juga dengan garam dan letakkan didalam balang/bekas. Tetapi ingat, jangan letakan sekali gus ikan-ikan tersebut, perlulah buat selapis-selapis. Setelah meletakkan beberapa ekor ikan,  lapiskan semula dengan beras hancur dan garam. Taburkan sahaja, kemudian letakkan dua atau tiga asam keping diatasnya. Kemudian barulah letakkan beberapa ekor ikan lagi untuk lapisan kedua. Ulang langkah yang sama sehinggalah siap.   

Lihat. Inilah hasilnya. Hasil air tangan bondaku dan pertolongan anakandanya dan juga ikannya pula hasil tangkapan ayahandaku.
 :-) Macam-macam ikan ada dalam bekas ini. Antaranya ikan sepat dan ikan puyu.



Gambar yang akan menyusul adalah ikan pekasam yang siap digoreng bersama cili kering dan hirisan bawang merah. Kalau kena dengan nasi putih yang panas, memang sedap. Gaulkan sahaja bersama ikan pekasam, cili kering dan hirisan bawang merah yang digoreng. Huhhh... mak mertua lalu belakang tak sedar dah.. :-) 
Lambat sikit gambarnya.. Minyak tak panas lagi, Tak boleh nak goreng lagi. Tungguuuuuuuuuuuuuuuuuu........ 



Coretan,
Noorhamimi Awang






1 comments: